Ruang Iklan

Khamis, 6 September 2012

Port Dickson Bandar Tentera Darat

 
Sama seperti bandar tentera yang termasyhur Fort Knox di Amerika Syarikat, Port Dickson menjadi tempat pegawai tentera menjalani latihan asas, latihan kadet dan latihan susulan. Ramai pegawai tentera mengambil keputusan menetap terus di situ selepas bersara.

Bagi yang memasuki bandar Port Dickson menerusi lebuh raya Seremban-Port Dickson, mereka akan disambut dengan pemandangan pintu gerbang, pesawat Caribou dan sebuah kereta kebal di luar Muzium Kor Armor Diraja Kem Sunggala. Kem Sunggala juga menempatkan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja.


Sejarah tentera
Bandar Port Dickson mendapat nama daripada seorang pegawai tertinggi British, Sir John Frederick Dickson, yang begitu sinonim dengan ketenteraan sejak tertubuhnya kompeni perintis Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Mac 1933.

Legasi warisan tentera berterusan sehingga hari ini dan pada tahun 2009, bandar itu dengan rasminya diisytiharkan sebagai sebuah bandar tentera darat. 

Selepas tertubuhnya kompeni perintis itu, Port Dickson telah melatih lebih 325,000 perajurit berbilang kaum dari seluruh negara yang kebanyakannya mengukir nama dalam sejarah negara. Ini termasuk Allahyarham Leftenan Adnan Saidi, yang meninggal dunia semasa mempertahankan negara daripada serangan tentera Jepun pada Perang Dunia kedua. 

Sehingga kini, Port Dickson telah berkembang bersama-sama tentera darat melalui penubuhan beberapa institusi dan pusat latihan pasukan tentera darat serta Angkatan Tentera Malaysia. 

Pembangunan infrastruktur Port Dickson semakin baik kerana statusnya sebagai Bandar Tentera Darat.

Sejak bertahun, Port Dickson mendapat banyak faedah daripada wujudnya kemudahan latihan tentera di samping aktiviti pasukan tentera Malaysia.

Di sekitar kawasan Port Dickson sahaja terdapat sembilan pusat latihan dan lima pasukan, yang menempatkan sejumlah 10,439 (statistik sehingga 1 Mac 2012) pegawai dan anggota tentera.

Identiti pelancongan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan memastikan setiap pembangunan di Port Dickson mempunyai unsur-unsur yang melambangkan ketenteraan dan pantai pelancongan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata segala perancangan dan perkembangan infrastruktur serta aktiviti tentera darat di Port Dickson akan mengambil kira kepentingan umum. 

"Port Dickson akan mempunyai kalendar pelancongan setiap tahun untuk aktiviti seperti upacara tatu, pertunjukan tamat latihan, barrack stay (menginap di berek tentera) dan perbarisan hari angkatan tentera darat yang akan diadakan secara simbolik di sini," ujar beliau. 

Beliau yakin kerajaan negeri dan tentera darat yang mempunyai pelbagai idea, pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu akan berupaya menghasilkan rancangan serta pelaksanaan mengindahkan lagi Bandar Tentera Darat sebagai lokasi pelancongan. 

Segala kemudahan yang dilakukan di Port Dickson adalah untuk dimanfaatkan penduduk setempat dan pelancong.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina kolam renang bagi kegunaan latihan tentera serta rekreasi orang awam. 

Port Dickson yang sering dikunjungi setiap hujung minggu akan terus hidup dengan imej yang berkonsepkan 'mesra tentera, mesra pelancong dan mesra penduduk'. - Bernama


Sumber - Kosmo! Online - Urban

Tiada ulasan:

Iklan